Ramadhan merupakan bulan yang ke-sembilan di dalam bulan Islam. Mempunyai perjalanan hari dari 29 sehingga 30 hari. Bulan Ramadhan dianggap sebagai bulan penuh rahmat, bulan pengampunan dan pembebasan dari api neraka.
Bulan Ramadhan lebih dikenali sebagai bulan puasa, dimana, umat Islam diseluruh dunia dituntut menunaikan puasa yang menjadi Rukun Islam yang ketiga. Berpuasa, bermakna, umat Islam menahan diri dari makan dan minum pada waktu siang bagi mendidik umat Islam tentang kesabaran dan kerohanian. Umat Islam yang bertakwa dan hidupnya sentiasa mencari keredhaan Allah tidak akan mengabaikan kewajipan berpuasa sepanjang bulan ini dengan penuh semangat dan keghairahan.
Puasa, seperti yang diwajibkan oleh Allah, "Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa" (Surah al-Baqarah: 183) dan "...berpuasa lebih baik bagimu jika kamu mengetahui" (Surah al-Baqarah: 184) merupakan tugas yang tidak ternilai faedahnya bagi umat Islam. Kewajipan yang dilaksanakan oleh semua umat Islam akan meningkatkan semangat perpaduan di kalangan mereka yang bertebaran di serata alam. Kenyataan ini berdasarkan dengan aktiviti yang dilakukan bersama-sama ini sekaligus menguatkan kekuatan spiritual. Nabi Muhammad s.a.w. juga memperincikan kepentingan Ramadhan seperti berikut :
"Hai manusia! Telah datang kepada kamu satu bulan yang mulia, bulan rahmat... dimana bulan ini mewajibkan kamu berpuasa di siang hari dan sukarela bersolat pada malamnya. Barangsiapa yang mendekati Allah dengan melakukan segala amalan sunat di bulan ini akan menerima ganjaran seperti melakukan amalan wajib di lain hari. Ini merupakan bulan kesabaran dan kesabaran itu imbuhannya syurga. Ini juga bulan sedekah dan bulan dimana rezeki orang beriman bertambah..." (Diriwayatkan Ibn Khuzaymah).
Terdapat pelbagai tuntutan amalan sepanjang bulan Ramadhan, diantaranya ialah:
1- Lebihkan amalan solat sunat seperti solat sunat Isyrak, Dhuha, Rawatib, Taubat, Tarawih, Tahajjud dan Witir.
2- Tidak meringankan amalan bersahur lewat waktu dan berbuka awal waktu.
3- Memperbanyakan bacaan dan bertadarus Al Quran.
4- Membiasakan solat Fardu 5 waktu berjemaah di Masjid, Surau atau di rumah.
5- Banyakan sedekah.
6- Melipat gandakan amalan beribadah pada 10 malam terakhir Ramadhan.
Semua ganjaran yang dijanjikan Allah, akan dikurniakan bagi mereka yang memenuhi kewajipan dengan berpuasa untuk meningkatkan keimanan kepada-Nya. Semua ganjaran ini merupakan balasan di atas ketaatan kepada agama yang dilakukan dengan penuh semangat walaupun orang lain tidak tahu betapa payahnya ketika berhadapan dengan kelaparan ini. Apa yang dijelaskan tidaklah merangkumi semua faedah yang diperolehi dari bulan Ramadhan dan puasa. Ada banyak lagi kebaikan yang tidak kita ketahui atau tidak dihargai tetapi Allah tetap mengurniakannya pada kita di sebalik kewajipan puasa itu.

0 comments:
Post a Comment